Tuesday, September 9, 2008


Askar Wataniah (AW) adalah badan sukerela yang berlainan dari badan-badan sukarela yang lain. AW merupakan angkatan simpanan Tentera Darat Malaysia sebagai benteng kedua di dalam mempertahankan negara kita yang tercinta ini. Penyertaan saudara-saudari di dalam Askar Wataniah akan merupakan satu sumbangan murni di dalam menyahut seruan ibu pertiwi sesuai dengan konsep HANRUH (Pertahanan Menyeluruh) yang ditetapkan di dalam dasar pertahanan negara.
HANRUH antaranya menetapkan bantuan nasional termasuk pengembelingan semua sumber negara disamping penglibatan angkatan tentera.
Sebagai sebuah negara yang berkembang untuk mencapai matlamat sebuah negara yang maju dengan Wawasan 2020, setiap pihak dan rakyat perlu memainkan peranan di dalam pembangunan dan pertahanan negara dan hendaklah menjadikannya sebagai sebahagian dari aktiviti masyarakat.

Konsep Dan Jenis Latihan

Konsep latihan yang dilaksanakan adalah berteraskan kepada latihan asas ketenteraan untuk menyediakan anggota dan pasukan yang mampu bergandingan dengan pasukan tetap sekiranya diperlukan. Latihan-latihan Askar Wataniah dilaksanakan mengikut kemampuan dan kesesuaian masa seperti hujung minggu.
· Latihan Rekrut - Setiap anggota Askar Wataniah perlu menjalani latihan rekrut selama 30 hari berterusan atau melalui latihan tempatan selama 240 jam iaitu syarat untuk pengiktirafan sebagai Prebet.
· Latihan Tempatan - Latihan ini dilaksanakan di lokasi berdekatan kediaman anggota Sukarela. Latihan dijalankan pada masa yang bersesuaian terutama pada cuti hujung minggu. Latihan dilaksanakan dalam tempoh antara 2 hingga 12 jam sehari. Jumlah latihan ini dilaksanakan tidak melebihi 240 jam setahun (pasukan bukan teknikal) dan tidak melebihi 360 jam (pasukan teknikal).
· Latihan Lanjutan - Latihan ini dijalankan secara berterusan dalam tempoh masa tidak kurang daripada 72 jam dan tdak melebihi 14 hari bagi setiap individu dalam setahun.
· Latihan Tahunan - Latihan ini dijalankan secara berterusan pada setiap tahun sebagai kemuncak aktiviti latihan. Latihan tersebut dilaksanakan tidak melebihi 15 hari setiap tahun bagi seseorang individu. latihan ini dilaksanakan secara berkelompok dengan mengaplikasikan kemahiran ilmu medan perang, muslihat dan pengendalian senjata serta latihan rejimental.Latihan Anggota Pakar - Anggota Pakar hanya perlu mengikuti latihan kem tahunan selama 15 hari setahun.

Kemudahan Askar Wataniah

Apakah yang anda perolehi apabila menyertai Askar Wataniah ?
· Berjasa dengan menyumbang kepada pertahanan negara.
· Mengisi masa lapang yang sebaliknya akan terbiar sekiranya tidak menyertai sebarang aktiviti kumpulan sosial.
· Mempelajari kepakaran dalam pasukan Askar Wataniah yang dipilih.
· Membina dan membangunkan perwatakan tanpa mengeluarkan wang ringgit.
· Menambah kenalan/sahabat dari pelbagai lapisan masyarakat.
· Berpeluang melawat/menghadiri latihan di pusat latihan dan pasukan-pasukan di seluruh negara.
· Elaun semasa latihan hujung minggu dan gaji bagi latihan melebihi 72 jam dan perkhemahan tahunan.
· Bounti/Saguhati tahunan.
· Perlindungan kemalangan sama seperti Angkatan Tetap.
· Elaun Perjalanan ke tempat latihan dan kemudahan perubatan.
· Layak menyertai Insurans Berkelompok ATM.
· Cuti tanpa rekod bagi menyertai latihan selama 30 hari dalam satu tahun (bagi kakitangan kerajaan sahaja).
· Boleh dikerah untuk berkhidmat sepenuh masa mengisi perjawatan tetap dalam kor-kor yang berkaitan bagi mereka yang layak.
· Layak mendapat kemudahan pembelian barangan PERNAMA PERWIRA NIAGA seperti mana Anggota Tetap.Layak memperolehi kemudahan yang disediakan oleh Yayasan Askar Wataniah

Insentif Askar Wataniah

Dalam Askar Wataniah setiap individu berpeluang meningkatkan kerjaya masing-masing dalam pasukan Sukarela dengan mendapat peluang-peluang berikut:
· Kursus Kerjaya - Berpeluang mengikuti kursus-kursus kerjaya di Pusat Latihan Askar Wataniah (PUSWATAN) di Ipoh atau pasukan-pasukan penganjur yang lain.
· Kursus Fungsional - Berpeluang menghadiri kursus fungsional untuk meningkatkan kemahiran dalam bidang-bidang ketenteraan.
· Kenaikan Pangkat dan Pentauliahan - Anggota-anggota yang layak dan memenuhi syarat-syarat berpeluang dinaikkan pangkat dan bagi anggota-anggota yang mempunyai kelayakan akademik berpeluang ditauliahkan sebagai pegawai.
· Imbuhan Elaun - Setiap anggota Sukarela akan dibayar elaun bagi setiap latihan yang dihadiri. Jenis-jenis elaun yang disediakan adalah seperti berikut:
o Elaun Kehadiran: (Pegawai RM 5.80/LLP RM 4.00) - Elaun ini dibayar berasaskan jumlah jam kehadiran ke latihan tempatan.
o Pemberian Pakar: (Pegawai RM 300.00/LLP RM 200.00) - Untuk pegawai atau anggota ditauliahkan/didaftarkan untuk tempoh tidak kurang daripada empat tahun.
o Elaun Pakaian 'Outfit': Dibayar sekali semasa pentauliahan seseorang pegawai angkatan sukarela.
o Elaun Senggaraan Pakaian: (RM 125.00) - Dibayar setahun sekali dikira dari tarikh pentauliahan.
o Elaun Pakaian Istiadat: (RM 750.00) - Boleh dituntut lima tahun sekali bermula dari tarikh pentauliahan pegawai berkenaan.
o Elaun Pakaian Tauliah Kehormat: (RM 1000.00) - Dibayar sekali semasa pegawai diberi tauliah kehormat seseorang pegawai angkatan sukarela.
o Elaun Pengangkutan: Anggota yang menggunakan kenderaan sendiri/pengangkutan awam layak menuntut elaun perjalanan dengan syarat-syarat tertentu.
o 'Bounti': Memenuhi syarat:
§ Kadar Penuh RM 520.00.
§ Kadar Tiga Suku RM 390.00
§ Kadar Separuh RM 260
o Gaji Dan Lain-Lain Elaun Angkatan Tetap: Dibayar apabila anggota menjalani latihan berterusan dan kem tahunan dengan memenuhi syarat-syaratnya.Elaun Tamat Perkhidmatan: Mobilisasi 15% X Jumlah Bulan Genap Perkhidmatan Diakui X Gaji Akhir Pangkat Hakiki.